Lelaki kurang siuman suspek conteng tokong

Lelaki kurang siuman suspek conteng tokong

POLIS menutup kawasan tokong yang ditemui tulisan dengan kalimah ‘Allah’ pada dinding tokong di Persisiran Pantai Siring, Serkam, Merlimau, Melaka, semalam. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Polis mengenal pasti seorang lelaki kurang siuman sebagai individu dipercayai terlibat dalam kejadian menconteng kalimah suci pada dinding sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring, Serkam, Merlimau di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang dikenali dengan nama panggilan ‘Ucuk’.

“Berdasarkan maklumat awal dan keterangan saksi, suspek dipercayai pernah dilihat menulis kalimah ‘Allah’ di beberapa lokasi lain sebelum ini di sekitar kawasan terbabit dan polis kini sedang giat mengesan individu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam tadi, seorang kaki pancing telah menemui tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ pada dinding tokong tersebut.

“Pemeriksaan yang dijalankan mengesahkan tulisan itu dibuat menggunakan cat berwarna putih. Setakat ini, siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti status pemilikan tanah dan bangunan terbabit,” ujarnya.

Tambah beliau, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pihak berkuasa tempatan bagi melengkapkan siasatan kes.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295, Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan mencemarkan tempat ibadat, melukakan perasaan agama serta khianat terhadap harta benda.

Lee Robert menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa menghormati sensitiviti agama dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN