Warisan sejarah asas jati diri bangsa, perlu dipelihara – Sultan Selangor

Warisan sejarah asas jati diri bangsa, perlu dipelihara – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat melawat ke Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warisan sejarah bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan asas jati diri bangsa dan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sekiranya usaha pemuliharaan seperti yang dilaksanakan terhadap Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur tidak diteruskan, warisan sejarah yang tidak ternilai berisiko untuk hilang dan lenyap begitu sahaja.

Baginda menegaskan kepentingan usaha pemuliharaan bangunan bersejarah serta tapak warisan agar terus diperkasa.

“Beta bimbang akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang,” titah baginda selepas berkenan berangkat melawat ke Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Khazanah Nasional atas usaha murni membangunkan serta memulihara semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Seri Negara dengan begitu teliti serta berwibawa.

Baginda bertitah, usaha tersebut bukan sahaja memelihara warisan sejarah negara, malah mengangkat semula martabat mercu tanda yang signifikan dalam lipatan sejarah tanah air.

“Bangunan Sultan Abdul Samad mempunyai nilai sejarah yang amat besar kerana pernah berfungsi sebagai pusat pentadbiran Negeri Selangor sebelum Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

“Malah, bangunan itu turut mempunyai makna peribadi kepada beta kerana beta pernah berkhidmat di situ pada tahun 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperluas merangkumi semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan negeri Selangor.

“Beta berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa, bukan sahaja untuk Bangunan Sultan Abdul Samad, malah untuk semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang ada kaitan dengan Negeri Selangor,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN