PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 183 individu diberkas dengan 174 daripadanya dikompaun manakala sembilan direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 65 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,711 kilang, 16,500 premis perniagaan, 471 tapak pembinaan dan 236 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, seramai 19 pendatang tanpa izin turut ditahan dan tiga buah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng, selain tujuh kapal kecil dan bot serta dua kenderaan darat dikesan melalui aktiviti penglihatan manakala dua pendatang asing dihalau pulang.
Menyentuh kuarantin wajib, jelasnya, seramai 520 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 270,380 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 9,445 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata beliau.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 757 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang termasuk sejumlah 2,541 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE