Atasi kelemahan GST sebelum dilaksanakan - Utusan Malaysia

Atasi kelemahan GST sebelum dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Struktur sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) perlu disemak dan dinilai sebelum ia dikembalikan bagi mengelak kelemahan sistem itu berulang.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan di Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, meskipun GST merupakan sistem percukaian terbaik, namun ia perlu diperbetulkan dahulu demi memastikannya tiada pihak mengambil kesempatan atas kelompongannya.

“Sebelum ini, kita tidak mempunyai infrastruktur sesuai dan sempurna, kita gagal membuat pembayaran kembali cukai kepada pihak terlibat mengikut tempoh masanya sehingga menyebabkan ada pihak menaikkan harga lalu mengakibatkan inflasi tidak terkawal.

“Memang tidak dinafikan GST merupakan sistem cukai terbaik, ia memberikan hasil yang lebih kepada negara tetapi adakah kita sudah bersedia? Ini persoalan perlu dijawab kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) akan memperjuangkan pelaksanaan semula GST selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Pakar Eko­nomi i-CATS University College, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, GST boleh dipertimbangkan semula tetapi tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa sekiranya kos sara hidup masih tinggi dan pendapatan rakyat belum pulih.

“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) buat masa ini sesuai sebagai penyelesaian sementara, tetapi tidak mampan untuk jangka panjang. Jika kerajaan benar-benar mahu memperkenalkan semula GST, beberapa pembaharuan penting wajib dibuat seperti memastikan berperingkat

“Selain itu, dipastikan GST mempunyai senarai sifar dan pengecualian untuk makanan asas, barangan keperluan serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Abu Sofian berkata, GST bukan sistem percukaian yang buruk tetapi pelaksanaan tanpa empati dan persediaan yang rapi akan ditolak rakyat.

“Oleh itu, jika kerajaan ingin mengembalikannya, fokus utama perlu kepada rakyat dahulu, ketelusan dan perlindungan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN