Ingatan Ahmad Zahid kepada Ahli Parlimen UMNO sokong PN - Utusan Malaysia

Ingatan Ahmad Zahid kepada Ahli Parlimen UMNO sokong PN

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan mengenai tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat kepada rakyat dan bukannya kepada pihak gagal menjaga negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kini sudah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka sebagai Ahli Parlimen UMNO yang sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat.

“Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.

“Bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan Persekutuan serta institusi diraja sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini seramai 31 ahli Parlimen daripada 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO kekal menyokong kerajaan PN manakala bakinya menolak kepimpinan PN serta Muhyiddin.

Justeru Ahmad Zahid meminta mereka untuk mengambil pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa hubungan antara ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Ahli Parlimen UMNO mesti diharmonikan demi kepentingan rakyat dan negara.

Jelasnya, sebagai Ahli Parlimen UMNO mereka sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana ramai rakyat menderita termasuk ahli-ahli UMNO sendiri apatah lagi mereka kini tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis.

“Maka sudah tiba masa kita sebagai Ahli Parlimen UMNO menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka. Membuktikan perkara itu adalah mudah iaitu meninggalkan kerajaan PN yang gagal dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO sebenar.

“Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya