ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) rasmi daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bagi membolehkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan secara menyeluruh dan sah di sisi undang-undang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun kerajaan negeri telah merangka SOP sendiri, pelaksanaan eksplorasi REE masih terbatas kerana tertakluk kepada peraturan berkaitan pengeksportan bahan mineral tersebut yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) menetapkan negeri-negeri perlu patuh kepada SOP yang bakal dikeluarkan kementerian yang bermakna semua negeri yang terlibat terikat dengan keputusan itu.
“Namun, sehingga hari ini masih belum ada sebarang SOP rasmi dikeluarkan oleh kementerian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin yang mendedahkan potensi negara menjana pendapatan sehingga RM800 bilion jika 16 juta tan nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) yang terbiar di lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah dapat dibangunkan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Muhammad Sanusi turut menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus bahawa Kerajaan Persekutuan bercadang menubuhkan sebuah entiti khas seperti Petronas bagi mengawal selia REE di negara ini.
Beliau berharap khabar angin itu tidak benar memandangkan tanah dan sumber galian adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mereka sepatutnya diberi ruang dan kuasa sewajarnya untuk menguruskan hasil bumi sendiri termasuk REE.
“Janganlah sampai ikat negeri macam tu. Ini pun salah satu peluang untuk negeri cari hasil. Kalau disekat, ia seolah-olah menganiaya negeri-negeri. Tapi saya tekankan, ini semua cuma khabar angin. Saya harap ia tidak benar,” katanya.
Laporan akhbar yang mendedahkan potensi negara menjana pendapatan sehingga RM800 bilion kelmarin, memetik Ketua Perunding Global Rare Earth Technology, Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz yang menyarankan kerajaan Pusat dan lima negeri terbabit perlu bekerjasama untuk membangunkan dan mengeksploitasi bahan semula jadi tersebut, sekali gus mengurangkan penggantungan negara kepada kepakaran dan sumber asing.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim memberitahu, negara masih belum memiliki teknologi mencukupi untuk memproses REE, sekali gus mengehadkan pengeluaran produk berasaskan mineral tersebut.-UTUSAN










