KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam memutuskan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang merempuh motosikal dinaiki pasangan suami isteri sehingga mangsa parah berhampiran Plaza Tol Duta, Sabtu lalu dihukum penjara 30 hari dan didenda RM12,000.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, K. Darmaraju, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan memerintahkan tempoh penjara tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 10 Mei lalu manakala mahkamah turut membatalkan lesen memandunya selama lima tahun.
Tertuduh hilang kelayakan untuk memiliki lesen memandu bagi tempoh sama dan mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang bekerja sebagai penjual aksesori kereta dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Darmaraju didakwa memandu dengan melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta pada pukul 2.30 petang, 10 Mei lalu.
Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Syazwan Hasifi memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam bela, S.Vinesh mewakili Darmaraju merayu hukuman penjara dan denda ringan atas alasan anak guamnya baru berkahwin dan menanggung ibu bapanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa sedang menaiki motosikal di lorong paling kiri jalan sebelum didatangi kereta pacuan empat roda yang secara tiba-tiba memotong motosikal itu dengan cara tidak selamat.
Tertuduh kemudian telah melanggar motosikal mangsa dan terus meninggalkan lokasi kejadian selain tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan tersebut dan menyebakan pasangan suami isteri itu terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali, manakala isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Video kemalangan itu turut telah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.-UTUSAN










