KUANTAN: Ibu kanak-kanak perempuan yang ditemukan lemas di muara Sungai Balok, Ahad lalu mendakwa, ia kali pertama dia ke lokasi membawa mangsa dan tiga lagi anaknya mencari kepah walaupun sudah lebih 30 tahun menetap di Sungai Ular, di sini.
Masitah Latipah Adam, 42, berkata, dia ke lokasi tersebut setelah melihat kawan-kawannya menghantar aktiviti pencarian kepah itu dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Saya tidak pernah pun pergi cari kepah. Itu kali pertama saya pergi cari kepah di pantai.
“Kebetulan anak-anak juga ajak pergi sebab bosan duduk rumah. Saya pun bawa sekali anak saya empat orang termasuk Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain dan anak saudara,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Ahad lalu, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarga berhampiran jeti di muara Sungai Balok di sini ditemukan lemas.
Namun mayat Nur Afia Ramadhannie yang beralamat di Kampung Sungai Ular ditemukan kira-kita pukul 12.40 tengah malam kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Mengimbau kejadian, Masitah berkata, ketika sedang mencari kepah, tiba-tiba anak lelakinya memberitahu bahawa Nur Afia Ramadhannie hampir lemas tetapi sempat diselamatkan dan diletakkan di tepi.
“Saya ingatkan dia tidak turun semula ke air. Saya sangka dia sudah naik. Saya pun tidak perasan dia kembali ke air. Kemudian saya rasa tak sedap hati dan mula bertanya kepada semua orang, tetapi tiada siapa boleh jawab.
“Saya cari dan panggil namanya tapi dia tiada. Saya terus hubungi adik dan pasukan bomba. Masa itu memang saya sudah kaku, tak tahu nak buat apa,” katanya sebak.-UTUSAN










