TELUK INTAN: Tarikh 13 Mei semalam akan kekal terpahat dalam ingatan rakyat ekoran tragedi menyayat hati yang meragut nyawa sekurang-kurangnya sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dalam perjalanan pulang ke kem selepas menyelesaikan tugas di Teluk Intan.
Anggota dari Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki dirempuh sebuah lori yang membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Langkap dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 pagi semalam, lima lagi anggota parah dan empat cedera ringan manakala pemandu lori berusia 45 tahun terselamat dalam nahas itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, trak FRU yang membawa 18 anggota itu dan berkonvoi bersama enam kenderaan FRU lain sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU itu dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya.
Mereka yang terbunuh adalah Sarjan S. Perumal, 44, Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, Koperal Nurit ak Pandak, 34, Koperal Amiruddin Zabri, 38, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Menurut beliau, jenazah tujuh anggota beragama Islam disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Unit 5 di Sungai Senam untuk penghormatan terakhir bersama jasad dua anggota lain.
Noor Hisham berkata, pemandu lori mempunyai enam rekod berkaitan narkotik dan jenayah namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Sebanyak tujuh ujian telah dijalankan ke atas semua jenis dadah dan keputusannya didapati negatif. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan segera bagi mencari punca nahas itu dan turut meminta bantuan sewajarnya dsalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi (semalam). Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan,” katanya dalam kenyataan di akaun X semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu pemandu dan syarikat lori terbabit dipertanggungjawabkan atas kejadian yang berlaku.
“Nahas ini tidak harus berlaku sekiranya kenderaan berat itu melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian itu akan menubuhkan satu pasukan petugas khas dalam masa terdekat yang terdiri daripada pakar keselamatan serta wakil-wakil bebas bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.
“Siasatan ini adalah langkah tambahan kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) BIL. 1/2025).
Insiden yang mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi semalam mengulangi sejarah hitam lebih tiga dekad lalu.
Pada 28 Februari 1990, 11 anggota FRU dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.
Dalam nahas itu, trak yang membawa anggota terbabit dirempuh oleh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun. – UTUSAN










