SHAH ALAM: Penganjuran dua program vaksinasi iaitu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Vaksin Selangor (SelVax) mempercepat kadar vaksin apabila 33.4 peratus penduduknya sudah menerima dua suntikan.
Sinergi program PICK anjuran Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) daripada Kerajaan Persekutuan dan SelVax daripada kerajaan negeri membolehkan kadar imuniti kelompok dicapai menjelang Oktober ini.
Hal itu dimaklumkan Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STFC), Datuk Seri Dzulkefly Ahmad yang memberitahu kewujudan kedua-dua program itu di Selangor merancakkan pemberian vaksin dan yakin sasaran imuniti kelompok dapat dicapai awal.
“Kalau tak silap saya di Selangor, lebih 30 peratus penduduk negeri selesai mengambil dua dos vaksin. Untuk dua program ini, saya menyasarkan pemberian lebih 200,000 dos sehari di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikelolakan Kerajaan Pusat dan negeri,” katanya dalam wawancara khas yang disiarkan dalam Facebook sebuah syarikat akhbar semalam.
JKJAV sebelum ini melaporkan sebanyak 23.16 juta dos vaksin diedar di seluruh negara sehingga Khamis lalu, sementara Selangor dan Lembah Klang pula merupakan kawasan yang paling tinggi memberikan vaksin, iaitu sebanyak 8.91 juta dos.
Malah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan setakat 6 Ogos, sejumlah lima juta dos vaksin telah disuntik di Selangor.
Menerusi SelVax pula, tambahan sebanyak 232,670 dos telah disuntik. Sebanyak 33.4 peratus, bersamaan 1.59 juta individu pula telah lengkap dua dos vaksin di Selangor.
Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun lalu adalah program terbaik untuk Selangor bagi membuka semula semua sektor ekonominya.
Ini kerana menurutnya, beberapa langkah yang terdapat dalam program itu dapat membendung penularan Covid-19 daripada merebak di sesebuah lokaliti.
“Dalam POIS, kita akan mengenal pasti sesuatu lokasi yang berkemungkinan akan berlakunya jangkitan Covid-19 yang tinggi.
“Sekiranya seseorang itu dipercayai akan menjadi penjangkit utama (super spreader) untuk menyebarkan virus Covid-19, individu itu akan terus dikuarantin tanpa menunggu jumlah kes di tempat kerjanya atau tinggalnya meningkat,” jelasnya.










