Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Banggu di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini berlangsung meriah sejajar dengan semangat perpaduan serta nilai kekeluargaan yang sentiasa diterapkan dalam kalangan warga sekolah.
Program tradisi tahunan ini berjaya menghimpunkan para guru, murid dan tetamu jemputan dalam satu majlis yang sarat dengan pengisian bermanfaat dan suasana kegembiraan. Majlis dipengerusikan oleh guru besar, Noor Azniah @ Noni Mat Nor.
Majlis sambutan itu bukan sekadar acara rutin, tetapi wadah untuk menyuburkan budaya hormat-menghormati serta mengeratkan hubungan antara murid, guru dan komuniti setempat.
Penyelaras program, Noriha Che Wail berkata, kejayaan sambutan tersebut adalah hasil kerjasama padu guru-guru, kakitangan sekolah dan murid-murid yang membantu dalam penyediaan ruang, persembahan serta juadah.
Katanya, sesi pembelajaran berlangsung seperti biasa sebelum murid Tahap Satu menikmati waktu rehat pada pukul 8.45 pagi, diikuti oleh murid Tahap Dua pada pukul 9.15 pagi.
Tepat pukul 9.45 pagi, murid-murid mula berkumpul di Dewan Sri Banggu untuk acara sambutan.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa pada pukul 10 pagi sebagai tanda kesyukuran, sebelum dimeriahkan dengan persembahan murid prasekolah dan seterusnya nyanyian oleh murid Tahun Satu hingga Enam.
Antara tarikan utama adalah persembahan oleh pemenang pertandingan lagu hari raya peringkat sekolah.
Lagu-lagu malar segar seperti Suatu Hari di Hari Raya, Senandung Hari Raya, Selamat Hari Raya, Nazam Lebaran dan Bila Takbir Bergema berkumandang, lantas menghidupkan suasana dan mengundang tepukan gemuruh daripada para penonton.
Kreativiti serta keberanian murid-murid untuk tampil di pentas jelas menunjukkan bakat yang semakin berkembang dalam kalangan mereka.
Selepas selesai persembahan, jamuan hari raya untuk murid-murid bermula pada pukul 11.15 pagi.

Pengurusan stesen jamuan dilakukan dengan teratur mengikut pembahagian tempat dengan murid Tahun Satu hingga Tiga menikmati juadah di kantin.
Manakala murid Tahun 5 dan 6 perempuan di kawasan parkir tepi dewan; manakala murid Tahun Empat serta murid lelaki Tahun Lima dan Enam ditempatkan di bawah khemah khas.
Pelbagai menu disediakan oleh guru-guru rumah sukan melalui kios makanan.
Minuman dan colek buah pula disumbangkan oleh guru-guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA), sekali gus menambah kemeriahan dan variasi juadah.
Jamuan untuk para guru pula berlangsung pada pukl 12.45 tengah hari, disertai dengan tetamu jemputan daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta guru besar sekolah-sekolah berdekatan.
Kehadiran mereka memeriahkan lagi suasana dan memberi sokongan moral terhadap usaha sekolah memupuk tradisi dan jati diri murid melalui program seperti ini.

Murid Tahap Satu bersurai pada pukul 12.45 tengah hari, diikuti keseluruhan warga sekolah pada pukul 1.15 petang.
Secara keseluruhannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Banggu tahun ini berjaya mencapai objektifnya untuk mengukuhkan perpaduan, memperkaya pengalaman budaya serta memberi ruang kepada murid menonjolkan bakat dan keyakinan diri.
Ia sekali lagi membuktikan yang sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga medan membina sahsiah dan membentuk komuniti yang harmoni.
Program yang tersusun, kerjasama erat warga sekolah dan sokongan pelbagai pihak menjadikan sambutan ini satu kenangan manis yang pastinya akan diingati oleh semua yang hadir.
Semoga semangat silaturahim ini terus mekar dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program bermanfaat pada masa akan datang.










