IPOH: Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menafikan dakwaan bahawa bekalan ubat-ubatan di hospital itu terputus ekoran pandemik Covid-19 seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan.
Pengarah HRPB, Dr. Abdul Malek Osman sebaliknya berkata, bekalan ubat-ubatan untuk rawatan pesakit Covid-19 akan dibekalkan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan perolehan.
“HRPB mengambil maklum berkenaan isu yang ditularkan berkaitan gangguan bekalan stok ubat akibat wabak Covid-19 di mana memo dalaman hospital telah disebarkan.
“Memo dalaman ini adalah berkaitan gangguan ubat-ubatan peringkat global untuk edaran dan makluman semua Ketua Jabatan HRPB sahaja.
“Memo tersebut dikeluarkan sebagai persediaan awal serta disusuli tindakan yang terancang untuk mengatasi masalah gangguan bekalan ubat-ubatan bagi mengelakkan putusnya perawatan pesakit,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, permintaan penggunaan ubat yang tinggi untuk rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan sebahagian besar ubat-ubatan untuk rawatan penyakit itu meningkat secara mendadak sejak Mei lalu.
Bagaimanapun beliau berkata, bekalan ubat-ubatan tersebut tidak terputus sepenuhnya dan dibekalkan secara berperingkat.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah tersebut seperti membuat perolehan darurat dan bekerjasama dengan pembekal-pembekal kontrak untuk mencari sumber-sumber alternatif.
“Selain itu, perbincangan juga turut dilakukan dengan Ketua Pakar Penyakit Berjangkit berhubung ubat-ubat alternatif lain yang dapat digunakan untuk memastikan kesinambungan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan,” katanya.
Tambah beliau, HRPB sentiasa komited dalam memastikan situasi tersebut dipantau dan sebarang isu diselesaikan dengan sebaiknya.










