WASHINGTON: Sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) memintas dua kapal tangki minyak yang cuba meninggalkan Iran pada Selasa, sehari selepas sekatan yang dilaksanakan Presiden Donald Trump berkuat kuasa dan mengarahkan kedua-duanya berpatah balik.
Menurut pegawai AS yang enggan dikenali, kapal tersebut berlepas dari pelabuhan Chabahar di Teluk Oman dan dihubung oleh kapal perang melalui komunikasi radio.
Pendedahan itu memberikan gambaran lanjut mengenai pelaksanaan awal sekatan oleh Trump, yang bertujuan menekan Iran supaya menamatkan penutupan berkesan Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Trump berharap sekatan itu akan memaksa Iran menerima syarat yang ditetapkan AS bagi menamatkan konflik yang dilancarkannya pada 28 Februari lalu, termasuk membuka semula Selat Hormuz.
Menurutnya, perkara itu juga merupakan syarat dalam gencatan senjata dengan Iran yang dimeterai seminggu lalu dan dijangka tamat minggu depan.
Pakar di Institut Washington untuk Dasar Timur Dekat, Noam Raydan berkata, data pengesanan menunjukkan sebuah kapal tangki membuat pusingan U selepas sekatan bermula, namun memberi amaran banyak kapal yang bekerja dengan minyak Iran beroperasi tanpa pengesanan.
“Kita masih belum tahu sejauh mana keberkesanannya. Ini baru hari kedua,” katanya.
Pegawai AS itu berkata, dua kapal tangki berkenaan adalah antara enam kapal dagang yang menurut Pusat Komando AS pada Selasa, mematuhi arahan untuk berpatah balik dan kembali ke pelabuhan Iran di Teluk Oman.
Komando Pusat turut memaklumkan tiada kapal berjaya melepasi sekatan sejak ia berkuat kuasa pada Isnin lalu.
Sekatan itu merupakan operasi berskala besar yang melibatkan lebih 10,000 anggota tentera AS, lebih 12 kapal perang serta puluhan pesawat, menurut pihak tentera AS.
Tentera AS turut memaklumkan mereka akan menyokong kebebasan pelayaran bagi kapal yang melalui Selat Hormuz, selagi ia tidak menuju ke atau dari Iran.
Donald Trump mengumumkan sekatan tersebut selepas rundingan hujung minggu untuk menamatkan perang gagal. Harga minyak melonjak melepasi AS$100 setong (RM394.75) sebelum kembali stabil pada Selasa susulan harapan terhadap rundingan lanjut.
Jika strategi Trump berjaya, ia berpotensi menghapuskan kelebihan utama Iran dalam rundingan dengan AS serta membuka semula selat itu untuk perdagangan global.
Namun, menurut penganalisis, sekatan sedemikian dianggap sebagai tindakan perang yang memerlukan komitmen berterusan melibatkan sejumlah besar kapal perang.
Langkah itu juga berisiko mencetuskan tindak balas baharu daripada Teheran serta memberi tekanan besar terhadap gencatan senjata yang sedia rapuh.- AGENSI








