Dua wakil rakyat AS letak jawatan - Utusan Malaysia

Dua wakil rakyat AS letak jawatan

SWALWELL (kiri) meletak jawatan selepas berdepan dakwaan serangan seksual. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dua wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan kelmarin, manakala dua lagi berdepan kemungkinan dipecat. Ia berlaku susulan beberapa skandal yang menggemparkan parti Republikan yang memerintah dan Demokrat sehingga mencetuskan kekecohan dalam Dewan Perwakilan.

Anggota Demokrat California, Eric Swalwell, yang sebelum ini menarik diri daripada pencalonan gabenor, mengumumkan peletakan jawatan menerusi platform X selepas berdepan dakwaan serangan seksual dan salah laku oleh beberapa wanita.

Beberapa jam kemudian, anggota Republikan Texas, Tony Gonzales, turut mengumumkan hasrat untuk bersara melalui hantaran di platform sama, di tengah tekanan politik susulan pengakuannya mengenai hubungan sulit dengan bekas pembantu yang meninggal dunia akibat membakar diri.

Speaker Dewan, Mike Johnson, bersama beberapa pemimpin Republikan sebelum ini dilaporkan menggesanya supaya tidak bertanding semula.

Pada masa sama, perhatian turut tertumpu kepada dua lagi ahli Kongres AS. Salah seorangnya dari Florida, Sheila Cherfilus-McCormick  yang mewakili Demokrat manakala wakil rakyat Republikan, Cory Mills, kini berdepan tindakan disiplin berhubung kontroversi berasingan.

“Kongres AS tidak sepatutnya bertolak ansur dengan wakil rakyat yang menyalahgunakan kakitangan, mengkhianati kepercayaan awam untuk kepentingan peribadi dan melanggar sumpah jawatan mereka,” kata wakil rakyat Demokrat dari New York, Nydia Velazquez di X, sambil menggesa keempat-empat mereka meletak jawatan atau dipecat.

Pemecatan daripada Dewan Perwakilan memerlukan majoriti dua pertiga, di mana Kongres AS hanya menggunakan hukuman itu untuk kes paling serius. Hanya enam ahli dilucutkan jawatan dalam sejarah 237 tahun institusi tersebut.

Kes Swalwell semakin memuncak hujung minggu lalu apabila laporan San Fransisco Chronicle dan CNN mendedahkan dakwaan empat wanita, termasuk seorang bekas kakitangan yang mendakwa beliau melakukan serangan seksual sebanyak dua kali ketika sedang mabuk.

Swalwell bagaimanapun memohon maaf atas apa yang disifatkannya sebagai salah pertimbangan, namun menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Beliau kemudian menangguhkan kempen untuk menjadi gabenor Californian tetapi langkah itu tidak meredakan kemarahan di Washington apabila desakan meletak jawatan daripada Dewan Perwakilan semakin meluas merentasi kedua-dua parti.

Menjelang lewat kelmarin, beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kongres AS.

“Saya akan melawan dakwaan palsu yang dibuat terhadap saya. Bagaimanapun, saya mesti bertanggungjawab dan mengaku kesilapan yang dilakukan,” katanya.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN