KLANG: Seorang anak mangsa Covid-19 yang meninggal dunia tidak menjangkakan janji arwah bapanya untuk membelikan minyak wangi menjadi yang terakhir walaupun tidak sempat ditunaikan.
Janji itu dibuat bapa Nadiyah Mustapha, 41, iaitu Allahyarham Mustapha Zainal, 76, ketika sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Khamis lepas.
Menurut Nadiyah, arwah bapanya menyatakan hasrat itu ketika setiap kali membuat panggilan video dengannya, malah dia dikatakan kerap kali menyatakan mahu cepat pulang ke rumah.
“Setiap kali bila ayah kata begitu, saya selalu memintanya bersabar dan menguatkan semangat untuk lawan virus Covid-19 yang menjangkitinya. Ayah juga berjanji nak belikan minyak wangi kepada saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Selat Klang.
Malah, dia juga tidak menyangka arwah bapanya yang dimasukkan ke hospital pada 12 Julai lalu akibat serangan jantung akhirnya dijangkiti wabak Covid-19 ketika menerima rawatan walaupun keputusan ujian saringannya negatif sebelum masuk wad.
“Pada 22 Julai lalu, arwah sepatutnya dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaannya stabil, namun sebelum keluar pihak hospital menjalankan ujian saringan kedua. Malangnya ujian kedua itu mengesahkan arwah dijangkiti Covid-19.
“Akibat dijangkiti, hospital kemudian menahannya dua minggu lagi. Sejak itu kesihatan arwah ayah semakin merosot dan saya cuma sempat buat panggilan video beberapa kali sahaja.
“Kali terakhir panggilan video kami sekeluarga adalah dengan seorang doktor yang merawat arwah dan memaklumkan keadaannya sangat lemah. Dalam panggilan itu suami meminta doktor mengucapkan dua kalimah Syahadah di telinga arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.57 petang,” luahnya.
Allahyarham merupakan antara 21 jenazah mangsa Covid-19 yang dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada Sabtu lalu melalui program pengurusan jenazah berpusat yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Penganjuran program berpusat sejak dua minggu lalu itu adalah bertujuan memudahkan proses pengurusan jenazah selain mengurangkan kesesakan di Jabatan Forensik serta mengelakkan waris menunggu terlalu lama untuk mengebumikan jenazah ahli keluarga mereka.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia ketika itu, pengebumian jenazah itu dilakukan secara berperingkat apabila sembilan pertama tiba di tanah perkuburan pada pukul 1 petang sementara kumpulan kedua pula pada pukul 5.15 petang dan tujuh terakhir pada pukul 6.45 petang. Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 7.30 malam.
Lebih 20 petugas daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan petugas kawasan terkubur itu sendiri terlibat dalam proses pengebumian itu sambil disaksikan lebih 100 orang waris yang berada di sana bagi memberikan penghormatan terakhir. – UTUSAN










