Murid bergaduh berlaku di luar kawasan sekolah, tindakan perundangan diambil

Murid bergaduh berlaku di luar kawasan sekolah, tindakan perundangan diambil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) mengambil serius insiden pergaduhan melibatkan murid yang berlaku di kawasan perumahan seperti yang tular di media sosial.

Menurut JPWPKL, pihak polis telah selesai menjalankan siasatan dan kes tersebut kini dalam proses tindakan perundangan.

Katanya, pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“JPWPKL tidak berkompromi dengan sebarang salah laku keganasan melibatkan warganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, JPWPKL menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar memakai baju sukan sekolah bertindak memukul seorang remaja lelaki hingga cedera parah sambil merakam tindakan itu.

Susulan kejadian berkenaan, empat pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian di Residensi Prima Alam Damai, Cheras, pada 5 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 12.54 tengah malam hari sama sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan semua suspek bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN