LONDON: Chelsea semakin hampir mencapai persetujuan dengan Crystal Palace bagi mendapatkan khidmat pertahanan Perancis, Maxence Lacroix selepas kedua-dua kelab itu mengadakan rundingan mengenai nilai perpindahan pemain berkenaan.
Palace sebelum ini bertegas mahu mendapatkan bayaran maksimum untuk Lacroix yang bersedia meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan kali ini.
Menurut laporan, Chelsea menawarkan sekitar 55 juta pound (RM302 juta) namun bersedia meningkatkan tawaran kepada 60 juta pound (RM329 juta) termasuk bayaran tambahan berdasarkan prestasi bagi melengkapkan rundingan.
Pemilik bersama Chelsea, Behdad Eghbali dan pengerusi Crystal Palace, Steve Parish yang berada di New York bagi menyaksikan aksi final Piala Dunia dilaporkan mengadakan pertemuan di Hotel Aman berhampiran Central Park, Ahad lalu.
Chelsea kembali berminat terhadap Lacroix pada awal musim panas ini selepas tertarik dengan prestasi konsisten pemain berusia 26 tahun itu sejak menyertai Palace daripada Wolfsburg dengan nilai 18 juta pound (RM98 juta).
Lacroix menjadi antara pemain pertahanan yang menonjol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selain membantu pasukannya beraksi baik di pentas Eropah.
Usaha Chelsea mendapatkan Lacroix hadir ketika masa depan pertahanan tengah mereka, Trevoh Chalobah terus menjadi tanda tanya.
Kelab Serie A, Como dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran 35 juta pound (RM192 juta) untuk mendapatkan Chalobah, namun dua bidaan awal mereka sebelum ini telah ditolak Chelsea. – AGENSI










