PETALING JAYA: Pemain pertahanan Harimau Malaya, V. Ruventhiran percaya pengalaman yang dikumpul sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini mampu membantu skuad kebangsaan memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan.
Pemain berusia 25 tahun itu menegaskan, setiap minit yang diperoleh di peringkat kelab dan antarabangsa telah membentuk dirinya menjadi pemain yang lebih matang dan ia memberinya keyakinan untuk menggalas tanggungjawab bersama pasukan negara.
Menurut Ruventhiran, pengalaman bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi di atas padang, malah mengajar aspek disiplin, persediaan mental dan profesionalisme yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.
“Saya sudah belajar mengenai karakter sepanjang empat tahun lalu, bagaimana saya perlu beraksi di atas padang termasuk menjaga diri di luar padang.
“Saya juga semakin faham apa yang perlu dilakukan sebagai persiapan sebelum perlawanan atau latihan. Semua itu hadir menerusi pengalaman,” katanya.
Pemain kelahiran Selangor itu berkata, fokus utama skuad negara ketika ini adalah memastikan mereka memulakan saingan dengan kemenangan apabila berdepan Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Menurutnya, kejayaan meraih tiga mata pertama amat penting kerana ia mampu menjadi pemangkin keyakinan pasukan untuk mengharungi baki saingan yang dijangka sengit.
“Apa yang lebih penting, ketika ini kami hanya memberi tumpuan kepada perlawanan pertama.
“Kami mahu meraih tiga mata. Itulah sasaran kami dan selepas itu kami akan mengharungi saingan satu perlawanan demi satu perlawanan,” ujarnya.
Selain persiapan di atas padang, Ruventhiran turut berharap penyokong tempatan dapat memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya sepanjang kejohanan berlangsung.
Dia mengakui suasana stadium yang meriah mampu memberikan suntikan moral tambahan kepada pemain, terutama ketika beraksi dalam perlawanan penting di laman sendiri.
“Sudah tentu suasana stadium yang penuh akan memberi motivasi lebih besar kepada pemain. Kami berharap penyokong akan hadir dan terus memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan,” katanya.
Mengulas mengenai kombinasi pemain dalam skuad kali ini, Ruventhiran yakin jurulatih interim, Tan Cheng Hoe mempunyai perancangan terbaik untuk memastikan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu dapat menghasilkan persembahan mantap.
Menurutnya, walaupun skuad masih dalam proses membentuk keserasian, suasana positif yang wujud dalam kem negara menjadi petanda baik menjelang sepak mula kejohanan.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada Sabtu ini sebelum kembali ke laman sendiri untuk berdepan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tiga hari kemudian.
Cabaran lebih getir menanti apabila Harimau Malaya dijadual bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 1 Ogos sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras. – UTUSAN










