SACHSENRING: Marc Marquez mengakui kemenangan dominannya pada Grand Prix (GP) Jerman tidak mampu diraikan sepenuhnya apabila kemalangan yang menimpa adiknya, Alex Marquez, sedikit sebanyak mencacatkan detik bersejarah itu.
Juara dunia lapan kali itu menyamai rekod legenda Giacomo Agostini dengan meraih kemenangan ke-10 kelas premier di Sachsenring, namun mengakui podium bakal lebih bermakna jika Alex turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik.
“Meraih 10 kemenangan di satu litar dalam kelas MotoGP memang sesuatu yang menakjubkan. Sejujurnya, saya tidak gembira sepenuhnya kerana saya juga mahu melihat Alex berada di sini, di atas podium.
“Saya melihat sendiri bagaimana dia bekerja keras selepas perlumbaan di Montmelo dan ia benar-benar luar biasa. Saya memang tahu dia seorang yang kuat bekerja, tetapi usaha yang ditunjukkannya melebihi jangkaan saya dan dia menunggang dengan sangat baik,” kata Marquez.
Pelumba Ducati itu bagaimanapun memuji pasukannya yang berjaya menyediakan jentera terbaik sehingga membolehkannya menguasai perlumbaan di litar yang dianggap antara kegemarannya.
“Kami bekerja dengan sangat baik di garaj dan berjaya mencari cara terbaik untuk mendapatkan prestasi maksimum sepanjang hujung minggu ini,” katanya.
Marc berkata, dia hampir dihimpit masalah tayar hadapan pada awal perlumbaan, namun berjaya menyesuaikan tunggangannya sebelum kembali meningkatkan rentak dan membuka jurang selesa di hadapan kelompok pencabar.
“Pada awal perlumbaan saya menekan, tetapi kemudian saya merasakan tayar hadapan sudah berada di hadnya. Saya memperlahankan sedikit rentak sehingga memahami keadaan tayar itu sebelum kembali menyerang.
“Serangan kedua itulah yang membuka jurang dan saya tahu apabila sudah memiliki kelebihan antara satu setengah hingga dua saat di litar ini, memang sangat sukar untuk dikejar semula,” katanya. – AGENSI










