Bekas pengurus produksi didakwa sebar berita palsu kematian polis akibat vaksin - Utusan Malaysia

Bekas pengurus produksi didakwa sebar berita palsu kematian polis akibat vaksin

MUHAMMAD Zaki Omar (kanan) yang dituduh menyebarkan berita palsu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala di sini hari ini atas pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaki Omar, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam kira-kira pukul 11.39 malam, 3 April lalu.

Muhammad Zaki telah menyebarkan berita tidak benar iaitu ‘Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k’ yang telah dibaca pada 4 April kira-kira jam 9 pagi di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik’.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah dan Afiqa Liyana Rozman menawarkan jaminan sebanyak RM15,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Asiah Abd Jalil kemudiannya memohon agar jaminan dikurangkan disebabkan anak guamnya sanggup berhenti kerja sebagai pengurus produksi sebuah syarikat kejuruteraan di Singapura untuk menghadiri mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain memerintahkan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 1 September ini untuk serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.