MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mendedahkan bahawa seramai 41 guru di negeri ini menolak suntikan vaksin Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, jumlah tersebut melibatkan guru sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Jelasnya, bagaimanapun, mengikut peratusan jumlah tersebut mewakili hanya 0.2 peratus daripada keseluruhan guru di Melaka iaitu seramai 13,800 orang.
“Mengikut data JPN Melaka, terdapat 41 guru SK dan SMK yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Jumlah itu bagaimanapun mewakili 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala 94 peratus guru di Melaka telahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2020 yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Tambahnya, kira-kira 479 guru pula akan menerima suntikan dos pertama dalam masa terdekat mengikut giliran janji temu ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, susulan penolakan itu, pihaknya bersama JPN negeri akan mengadakan satu sesi libat urus bersama-sama guru yang dikenal pasti.
“Kita akan cuba meyakinkan guru-guru berkenaan untuk menerima suntikan vaksin bagi melancarkan urusan pendidikan negara, apatah lagi sekolah dijangka dapat dibuka semula pada Oktober INI.
“Kita tidak mahu para pendidik ini turut dilabelkan sebagai antivaksin. Jadi dalam tempoh sebulan ini kita akan cuba memujuk mereka untuk berlapang dada mengambil suntikan secepat mungkin,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga yakin guru-guru di negeri ini akan memberi kerjasama yang baik dan dapat mencapai peratusan vaksinasi 100 peratus menjelang Oktober ini. – UTUSAN ONLINE










