GEORGETOWN: Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, dua PPS dibuka di kawasan Jawi di Nibong Tebal iaitu di Dewan JKKK Sungai Kechil dan Sekolah Kebangsaan(SK) Jawi.
Katanya, PPS Dewan JKKK Sungai Kechil dibuka pada pukul 1 pagi tadi dan kini menempatkan sebuah keluarga mangsa banjir terdiri daripada sembilan orang termasuk tiga kanak-kanak.
“PPS SK Jawi pula dibuka pukul 12 tengah malam tadi dan seramai 11 orang daripada empat buah keluarga ditempatkan di situ.
“Semua mangsa banjir yang berada di PPS dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, ratusan buah rumah di kawasan Parlimen Balik Pulau seperti di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang dilanda banjir kilat sehingga kediaman mereka ditenggelami air kira-kira setengah meter ekoran hujan lebat lebih tiga jam bermula pukul 12.30 tengah hari.
Selain itu, banjir kilat turut melanda beberapa buah kawasan Jawi di Nibong Tebal, dekat sini pada sebelah malam.
Menurut Boon Poh, kawasan Jawi di landa banjir kira-kira pukul 10 malam selepas hujan kembali lebat pada pukul 7.30 malam.
“Lebih 10 buah rumah kawasan berkenaan dinaiki air sehingga kira-kira 0.5 meter,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, sebuah PPS di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul Teluk Kumbar dekat sini dibuka pukul 11 malam semalam.
“PPS ini menempatkan tiga keluarga membabitkan 12 orang dan kesemua mereka dalam keadaan baik,” katanya.
Tambahnya, air di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir di Parlimen itu telah surut namun beberapa lokasi seperti Kampung Jalan Baru dan Taman Manggis dinaiki air pada waktu malam semalam kerana air pasang serta hujan lebat.
“Saya juga telah meminta bantuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk membantu membersihkan kawasan dan rumah mangsa banjir hari ini,” katanya.










