PUTRAJAYA: Sebanyak 25 syarikat digantung dan ditarik balik kuota melibatkan barang kawalan minyak masak selepas terbabit dengan penyelewengan barang kawalan dan subsidi meliputi minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, tindakan itu adalah usaha komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan keberadaan bekalan barang tersebut di pasaran sentiasa stabil serta dapat dinikmati rakyat Malaysia.
Katanya, ia juga sebagai langkah pencegahan serta peringatan kepada syarikat-syarikat pembungkus dan pemborong supaya tidak terlibat dalam kes seumpama itu.
Jelas beliau, keputusan menggantung dan menarik semula kuota barang subsidi seperti minyak masak dan lesen LPG dari syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan itu dibuat sementara siasatan lanjut dijalankan.
“Kesungguhan menguatkuasakan undang-undang, KPDNHEP juga membanteras beberapa aktiviti penyelewengan barang kawalan dan subsidi meliputi minyak masak dan LPG melibatkan sama ada perpindahan minyak masak bersubsidi paket polibeg satu kilogram (kg) ke botol dua kg, tiga kg dan lima kg atau perpindahan LPG bersubsidi dari tong 14 kg ke tong kegunaan industri untuk dijual pada harga pasaran dengan keuntungan yang tinggi atau diseludup ke negara jiran.
“Jenayah sebegini memberi impak besar kepada bekalan barangan tersebut di pasaran untuk kegunaan rakyat Malaysia dan pada masa sama menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit dalam peruntukan subsidi khusus untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Nizam berkata, pihaknya memandang serius terhadap mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan seumpama itu terutama syarikat-syarikat yang diberi lesen dan kuota untuk pembungkusan dan pembotolan barang kawalan dan subsidi.
Katanya, semua kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 21, AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) PPKB 1974 kerana berurusan secara mengilang atau borong atau runcit, kesalahan lain termasuk di bawah Seksyen 20 (1) membabitkan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi paket satu kg di tempat yang tidak dilesenkan juga turut disiasat.
“Semua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) iaitu kesalahan, pengubahan wang haram turut juga dijalankan bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucuthakan ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama melibatkan minyak masak dan LPG.
“Sekiranya mereka didapati bersalah, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda
lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE










