BUTTERWORTH: Seorang usahawan produk kesihatan dan pakaian di sini kerugian hampir RM117,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket perjudian dalam media sosial baru-baru ini.
Mangsa wanita berusia 39 tahun itu terjerat dengan sindiket terbabit selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga China yang kononnya seorang pengurus sebuah syarikat perjudian di Macau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, sindiket itu menjalankan modus operandi dengan memperdaya mangsa untuk berjudi dengan pulangan tetap sebanyak 10 peratus daripada setiap transaksi.
Jelasnya, sindiket itu juga berjanji untuk membantu memasarkan produk nenas yang diusahakan mangsa di China jika bertaruh dalam perjudian yang dijalankan oleh syarikat itu.
“Mangsa tidak tidak pernah bersua muka dengan suspek berkenaan dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang berurusan wanita itu membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akaun tempatan yang keseluruhannya berjumlah RM116,734 sebelum menyedari ditipu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Noorzainy berkata, orang ramai dinasihati agar tidak mudah percaya dengan sebarang aktiviti perjudian yang menggunakan konsep pelaburan yang dijalankan oleh mana-mana pihak kerana tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang.
“Orang ramai seharusnya menyemak terlebih dahulu nombor akaun sebelum membuat sebarang transaksi di laman web Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) di ccid.rmp.gov.my atau memuat turun aplikasi Semak Mule CCID bagi memastikan akaun yang diberikan terlibat dengan mana-mana kes penipuan,” katanya. – UTUSAN










