PORT DICKSON: Seorang bapa tidak dapat menyangka anaknya yang sihat serta aktif bersukan namun dilaporkan rebah di tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok dekat sini, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson hari ini.
M. Kumar, 56, berkata, anaknya, K. Viknesh, 29, yang bekerja sebagai penolong pegawai farmasi di klinik kesihatan itu sejak lebih tujuh tahun lalu tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kronik dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat baik melalui pemakanan atau aktiviti sukan.
Menurutnya, anak keduanya itu juga tidak merokok serta sering menasihatkan ahli keluarga untuk mengawal berat badan bagi mengelak daripada menghidapi sebarang penyakit.
“Pagi semalam dia pergi kerja dari rumah saya lihat dia sihat sahaja namun agi tadi dia ke tempat kerja dari rumah yang dibelinya sejak lima tahun lalu di Bandar Ekar, Rantau. Saya dapat tahu kejadian ini apabila ada kakitangan di klinik menghubungi saya pada pukul 8.30 pagi yang memaklumkam anak saya pengsan dan dikejarkan ke hospital.
“Lebih mengejutkan lagi bila saya tahu sebaik tiba di hospital, anak saya disahkan meninggal dunia manakala tiga orang yang mengiringinya termasuk seorang doktor pengsan. Bagai mimpi sahaja saya rasakan kini dan tak percaya anak saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Port Dickson, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mendapat maklumat pada pukul 8.15 pagi terdapat seorang kakitangan lelaki tidak sedarkan diri di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, dekat sini.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah mengadu sakit dada dan secara tiba-tiba rebah semasa sedang bertugas di klinik tersebut.
“Mangsa kemudiannya telah dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke hospital dengan diiringi oleh seorang pegawai perubatan dan dua orang pembantu perubatan.
“Apabila tiba di hospital, mangsa telah disahkan meninggal dunia manakala tiga orang lain yang mengiringi mangsa telah dibawa ke unit kecemasan kerana tidak sedarkan diri. Setakat ini, ketiga-tiga mangsa sudah kembali sedar dan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di wad,” katanya lagi.
Menurutnya, buat masa ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’ dan hasil ujian calitan Covid-19 juga mendapati mangsa bebas jangkitan tersebut.
“Bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian mangsa,” katanya. – UTUSAN