PETALING JAYA: Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu diperluas kepada pelbagai syarikat berkaitan logistik bagi mengimbangi tekanan yang bakal dihadapi sektor tersebut susulan kenaikan harga minyak global.
Ini termasuk kepada kenderaan khas yang beroperasi dalam kawasan tertutup seperti lapangan terbang, pelabuhan, tapak pembinaan, kilang dan pembalakan yang tidak layak menerima subsidi berkenaan.
Presiden Institut Pengangkutan dan Logistik Berkanun Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, ia sebagai langkah awal bersifat jangka pendek untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi ekoran kenaikan harga bahan api.
Beliau berkata, ini juga bagi membantu sektor logistik dan pengangkutan yang dijangka mengalami tekanan ekonomi amat ketara dalam beberapa bulan akan datang.
“Ia sebagai langkah awal untuk mengekang isu kenaikan harga barangan lain yang melibatkan rantaian. Paling penting, kerajaan perlu proaktif dengan menyatakan secara jelas dan telus apakah langkah yang akan diambil kepada industri logistik serta pengangkutan barangan.
“Tanpa pemakluman ini, akan berlaku kegusaran di pihak industri dan ini akan membantutkan perancangan pemain industri bagi menangani cabaran tersebut. Peningkatan kos logistik dan pengangkutan barangan ini juga boleh mengurangkan daya saing negara dalam sektor perdagangan global dan serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sehingga 30 Mac lalu, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti telah diluluskan di bawah SKDS melibatkan 368,911 kenderaan seluruh negara.
Melalui sistem SKDS, syarikat pengangkutan darat yang layak boleh membeli diesel pada harga subsidi RM2.15 seliter menggunakan fleet card manakala 10 jenis kenderaan awam pula menikmati harga RM1.88 seliter di seluruh negara.
Antara kenderaan awam yang layak termasuk bas ekspres, bas sekolah, teksi, ambulans dan lori bomba manakala bagi kenderaan barangan pula meliputi lori kargo, lori refrigerated, penggerak utama, panel van serta pelbagai jenis lori khusus.
Dari segi kelayakan, permohonan hanya dibuka kepada syarikat atau entiti perniagaan yang berdaftar, memiliki kenderaan sendiri dengan cukai jalan sah serta tergolong dalam kategori kenderaan yang ditetapkan.-UTUSAN.










