PETALING JAYA: Pelakon, Syatilla Melvin menepis tanggapan netizen yang berpendapat golongan artis mudah meraih keuntungan dalam sebarang perniagaan kerana memiliki populariti.
Menurut Syatilla, sebelum menempa nama dalam industri hiburan tanah air, pelbagai keperitan dirinya perlu harungi demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Perkongsian saya sebelum ini ramai yang komen “awak itu artis boleh laaa, awak artis jual kayu pun orang beli, awak artis dan sebagainya” Saya tak marah pun.
“Tapi kalau sekadar artis, tapi tiada usaha pun tidak boleh juga bukan? Sebelum jadi artis, orang kenal, pahitnya kita saja telan,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Tambah Syatilla, dia pernah berpengalaman melakukan pekerjaan biasa biarpun perlu menjadi seorang kerani dan pemberi risalah.
“Saya pernah jadi kerani tau sementara tunggu pusingan akhir dewi remaja. Saya pernah beri ‘flyers’ Maxis tepi jalan tengah panas.
Siap ditolak hari-hari, kesian. Tapi pengalaman itu sangat berharga. Allah Maha Mengatur. Alhamdulillah, untuk sekarang ini,” ujarnya.
Syatilla berkongsi perkara itu selepas memuat naik perkongsian dirinya kini bergelar ejen pemasaran sekali gus meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.










