Halang jurugambar : SOP liputan babit PDRM perlu diperkemas

Halang jurugambar : SOP liputan babit PDRM perlu diperkemas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menghalang jurugambar daripada merakam gambar semasa program yang dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara (DIGP), Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini disifatkan sebagai satu langkah ke belakang yang mencabul kebebasan media.

Pertubuhan Jurugambar Wartawan Selangor (WAJAR) dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) dalam satu kenyataan bersama berkata, insiden itu merupakan satu langkah ke belakang yang menyukarkan tugas wartawan serta jurugambar mendapatkan maklumat secara tepat, telus dan seimbang demi kepentingan awam.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjelaskan sama ada sekatan berkenaan merupakan dasar rasmi organisasi atau hanya tindakan individu yang bertugas ketika program berlangsung.

“Tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati melakukan salah laku serta menggesa prosedur operasi standard (SOP) pengurusan liputan media PDRM dikaji semula agar lebih menghormati peranan wartawan dan jurugambar,” katanya di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, antara isu yang dibangkitkan ialah larangan terhadap jurugambar media merakam gambar sepanjang acara selain diarahkan menggunakan gambar rasmi yang dibekalkan.

“Tindakan tersebut menafikan nilai eksklusiviti serta kebebasan editorial yang menjadi asas kepada amalan kewartawanan profesional.

“Selain itu, kedua-dua pertubuhan berkenaan turut mempersoalkan ketiadaan sidang media atau sesi doorstop selepas program sehingga menyebabkan wartawan tidak berpeluang mendapatkan penjelasan lanjut atau mengemukakan soalan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Kata kenyataan itu, alasan bahawa sekatan itu merupakan arahan terus daripada kepimpinan memerlukan penjelasan segera bagi mengelakkan nama baik kepimpinan tertinggi PDRM disalahgunakan.

WAJAR dan CiJA turut mendakwa pegawai Unit Komunikasi Korporat (UKK) atau petugas lapangan yang mengeluarkan arahan berkenaan pernah beberapa kali bertindak secara tidak profesional sehingga menyukarkan urusan media ketika membuat liputan.

“WAJAR dan CiJA menegaskan mereka sentiasa menyokong usaha PDRM dalam menjaga keselamatan negara serta menghargai hubungan baik yang telah lama terjalin dengan pihak polis.

“Hubungan itu perlu terus diperkukuh berasaskan prinsip saling menghormati, profesionalisme dan keterbukaan tanpa sebarang sekatan yang boleh menjejaskan kebebasan media serta hak masyarakat untuk memperoleh maklumat yang tepat dan berimbang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN