PETALING JAYA: Institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) menawarkan lebih 100,000 tempat sebagai pilihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian peringkat lebih tinggi.
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, IPTS bumiputera sahaja mampu menampung sekitar 100,000 pelajar dalam pelbagai program pengajian.
“Daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus tempat diperuntukkan bagi program peringkat sijil, asasi dan diploma.
“Peranan IPTS amat signifikan dan setara dalam menyediakan laluan pendidikan tinggi kepada lepasan SPM, khususnya bagi mereka yang tidak mendapat tempat di IPTA.
“Ketika ini, kira-kira 50 peratus populasi pelajar pendidikan tinggi berada di IPTS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan data terkini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Sesi Akademik 2026/2027, sebanyak 87,522 tempat disediakan di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) merangkumi program asasi, sijil dan diploma.
Daripada jumlah itu, sebanyak 20,811 tempat ditawarkan bagi program asasi, 8,145 (sijil) dan 58,386 (diploma), manakala 180 tempat lagi diperuntukkan untuk program sarjana muda bagi lepasan SPM.
Kesemua penawaran ini melibatkan 20 universiti awam (UA), 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara.
Selain itu, kira-kira 30,000 tempat turut ditawarkan melalui program matrikulasi manakala sekitar 65,000 tempat lagi tersedia bagi tingkatan enam atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berdasarkan data tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menasihatkan lepasan SPM supaya membuat kajian teliti sebelum memilih bidang pengajian agar selari dengan minat, kemahiran dan prospek kerjaya.
Katanya, pemilihan bidang perlu mengambil kira keperluan industri semasa termasuk penguasaan kemahiran praktikal, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Pelajar disarankan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan satu bahasa asing seperti bahasa Mandarin atau bahasa Tamil.
“Semua program universiti telah melalui penapisan ketat oleh MQA serta kajian pasaran bagi memastikan kebolehpasaran graduan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Kemahiran tambahan dan kebolehan praktikal menjadi antara faktor utama yang menentukan kejayaan graduan dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr. Anuar Ahmad pula berkata, lepasan SPM perlu menilai tiga aspek utama sebelum memilih laluan pengajian.
Katanya, aspek tersebut melibatkan kelayakan akademik, minat serta potensi bidang pengajian pada masa hadapan.
“Pelajar yang cemerlang mempunyai lebih banyak pilihan manakala mereka yang memperoleh keputusan sederhana atau rendah mungkin berdepan kekangan terutama dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.
“Selain itu, pemilihan bidang mengikut minat penting bagi memastikan motivasi dan prestasi akademik kekal baik.
“Bidang seperti teknologi maklumat, pembangunan perisian, perubatan, pendidikan, kejuruteraan serta industri makanan dijangka terus berkembang, manakala pekerjaan rutin dijangka berkurangan susulan perkembangan AI,” katanya. – UTUSAN.










