KUANTAN: Kenaikan harga diesel sehingga RM6.02 seliter memaksa sebahagian besar nelayan C2 menurunkan kelas operasi kepada zon C demi kelangsungan hidup.
Pengusaha bot laut dalam di negeri ini, Tengku Adnan Tengku Husin berkata, langkah menjual bot C2 dan beralih kepada operasi lebih kecil bukan pilihan mudah, tetapi terpaksa dilakukannya demi mengekalkan sumber pendapatan.
“Kos operasi bot C2 yang mencecah lebih RM150,000 sebulan kini tidak lagi mampu ditampung hasil tangkapan, apatah lagi dengan harga diesel yang melonjak mendadak.
“Mahu tidak mahu terpaksa juga jual bot. Saya dahulu buat pinjaman bank RM500,000 untuk beli bot C2. Dulu tiada masalah untuk bayar, baki pinjaman kini ada lebih RM200,000 dan saya tiada lagi kemampuan untuk bayar kerana keuntungan semakin menipis, malah ada yang rugi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Tengku Adnan berkata, walaupun langkah menukar kelas operasi itu mengurangkan hasil tangkapan, sekurang-kurangnya ia dapat mengekalkan kelangsungan hidup keluarga nelayan.
“Bot C2 boleh membawa puluhan tan metrik ikan sekali keluar, tetapi kosnya terlalu tinggi. Bot C lebih kecil, hasilnya sedikit tetapi kos lebih rendah dan risiko kerugian juga berkurang,” katanya.
Seorang lagi nelayan C2, Abdul Kadir Ibrahim berkata, keadaan itu boleh memberi kesan besar kepada rantaian bekalan ikan di pasaran tempatan kerana tangkapan laut dalam biasanya menyumbang kepada stok ikan berskala besar.
“Jika ramai nelayan C2 berhenti dan terpaksa turun kelas operasi, bekalan ikan tertentu berkurangan. Ini boleh menyebabkan harga ikan naik di pasaran,” katanya.
Justeru, dia berharap kerajaan dapat mempertimbang semula mekanisme subsidi atau bantuan khas bagi nelayan laut dalam supaya sektor ini tidak lumpuh sepenuhnya.
“Nelayan bukan menolak cabaran tetapi kenaikan mendadak tanpa pelan sokongan akan membunuh industri. Ramai pekerja hilang kerja, ekonomi kampung pesisir turut terjejas,” katanya.
Abdul Kadir berkata, perjuangan nelayan bukan sekadar mencari rezeki tetapi menjaga kelestarian makanan negara.
“Jika laut dalam sunyi tanpa bot C2, kita akan bergantung kepada import. Itu bukan jalan yang baik untuk masa depan,” tegasnya. – UTUSAN










