IPOH: ‘Saya tidak tahu siapa yang buat pesanan’.
Itu kata Pengurus Besar Nasi Kandar Ayam Merah di sini atau lebih dikenali nasi ganja, Sajid Hassan berhubung identiti pelanggan yang mengambil pesanan nasi ganja menaiki sebuah helikopter dari Kuala Lumpur, kelmarin.
Helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh dekat sini.

Menurutnya, dia menerima pesanan daripada pelanggan dari Kuala Lumpur itu melalui telefon yang memesan 36 bungkus nasi ganja pada Khamis.
“Siapa individu itu, saya tidak tahu, adakah dia ahli perniagaan atau ahli politik, itu saya tidak tahu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia semalam.
SUASANA sibuk Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Ipoh. – VIDEO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Menurutnya, polis telah mengambil keterangan daripada pihaknya berhubung kejadian itu.
Mengenai kejadian kelmarin, Sajid berkata, perniagaannya dibuka seperti biasa, sambutan juga seperti biasa.
“Saya anggap apa yang berlaku adalah rezeki kerana sebelum ini perniagaan berdepan dengan pelbagai cabaran yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baik perniagaan kami,” katanya.

Sementara itu, polis telah mengenal pasti beberapa individu termasuk seorang bergelar Datuk berhubung insiden tersebut dan akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan menyiasat sama ada individu atau syarikat yang menggunakan perkhidmatan helikopter itu memiliki surat kebenaran rentas negeri atau tidak.
Beliau berkata, siasatan akan dibuka berdasarkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Akta 342.