PETALING JAYA: Memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka bakal dikenakan tindakan kerana didapati menjual vaksin Covid-19 secara dalam talian.
Mangsa yang panik kemudian menuruti semua arahan sindiket sehingga membayar sejumlah wang sebelum menyedari mereka ditipu
Itu modus operandi terbaharu sindiket yang dikesan Polis Diraja Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan penipuan berkaitan vaksin Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, sehingga kini, pihaknya menerima sebanyak 38 laporan polis dengan kerugian RM54,500.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan.
“Sindiket dilihat mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan dengan cara yang salah.
“Selain itu, kita mengesahkan sehingga kini, empat laporan polis telah diterima berkait isu vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Kamaruddin, tiga daripada laporan polis tersebut adalah berkenaan dakwaan wujudnya aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada orang awam.
Ujar beliau, satu laporan polis adalah berkenaan isu penambahan jumlah penerima vaksin Covid-19 di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah vaksin yang dibekalkan.
“Sehingga kini, seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan berkait kes-kes tersebut.
“Kesemua mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan,” katanya.
Tambahnya, satu daripada siasatan kes-kes tersebut telah pun selesai selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tiada bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-suspek terlibat.
“Baki tiga lagi kertas siasatan masih dalam siasatan,” katanya.
Mohd Kamarudin turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan siasatan kes-kes ini.
“Kita sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE