JEMPOL: Tiga penduduk di Kampung Mahsan dan Taman Mahsan dekat sini yang kehilangan pendapatan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 Jun lalu dikesan mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing sejak semalam.
Tindakan mereka itu tular di media sosial dan difahamkan penduduk setempat telah bersama-sama membantu menghulurkan bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, susulan maklumat tersebut, pihaknya segera ke rumah berkenaan bagi mengetahui sendiri masalah yang dialami oleh penghuninya.
“Ketiga-tiganya merupakan lelaki yang tinggal bersendirian, mereka berusia dalam lingkungan usia 40 hingga 60 tahun.
“Dua orang daripadanya bekerja sebagai buruh binaan namun sejak PKP, mereka tidak dapat bekerja dan terputus pendapatan serta hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kok Seong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya masyarakat setempat mengambil langkah memasang bendera putih.
“Langkah berkenaan jelas adalah simbol bagi memaklumkan penghuni rumah memerlukan bantuan segera.
“Selain mengibarkan bendera putih, mereka juga boleh menghubungi mana-mana pemimpin akar umbi untuk segera dihulurkan bantuan. Kita akan segera bantu sebab kita tak mahu ada penduduk yang terputus bekalan makanan,” katanya.










