PARIS: Bilionair Elon Musk telah dipanggil untuk sesi temu bual sukarela di Paris pada Isnin sebagai sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap platform media sosial miliknya, X.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada beliau akan menghadirkan diri.
Pihak berkuasa Perancis mengeluarkan sapina terhadap Musk pada Februari lalu berikutan siasatan yang dimulakan sejak Januari 2025. Siasatan tersebut tertumpu kepada dakwaan bahawa algoritma X telah digunakan untuk campur tangan dalam politik Perancis.
Skop siasatan kemudiannya diperluaskan merangkumi bot sembang kecergasan buatan (AI) milik X, Grok, atas dakwaan penyebaran kandungan penafian Holocaust dan imej seksual palsu.
Pada awal Februari, pendakwa raya Perancis telah menggeledah pejabat X di Paris. Tindakan tersebut dibidas keras oleh gergasi media sosial itu yang menyifatkannya sebagai serbuan bermotifkan politik dan tindakan kehakiman yang melampau.
Pada masa yang sama, pendakwa raya turut memanggil Musk dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Linda Yaccarino untuk temu bual sukarela selaku pengurus platform tersebut semasa kejadian berlaku.
Musk menyifatkan langkah tersebut sebagai serangan politik. Untuk rekod, Yaccarino telah meletak jawatan sebagai CEO pada Julai tahun lalu.
Pendakwa raya Paris, Laure Beccuau, menyatakan bahawa kakitangan X juga telah dipanggil untuk hadir antara 20 hingga 24 April bagi memberi keterangan sebagai saksi.
Pihak pendakwa raya menegaskan bahawa ketidakhadiran individu yang dipanggil tidak akan menghalang penerusan siasatan tersebut.
Siasatan di Perancis itu memfokuskan kepada beberapa kesalahan jenayah yang disyaki, termasuk bersubahat dalam pemilikan bahan penderaan seksual kanak-kanak, penafian jenayah terhadap kemanusiaan dan penyebaran imej lucu palsu yang dihasilkan oleh AI.
Tindakan undang-undang ini berlaku di tengah-tengah kecaman antarabangsa terhadap Grok selepas didapati pengguna boleh menghasilkan imej seksual wanita dan kanak-kanak menggunakan arahan teks ringkas.
Menurut laporan Center for Countering Digital Hate (CCDH), bot AI tersebut dianggarkan telah menghasilkan kira-kira tiga juta imej seksual termasuk 23,000 imej yang kelihatan seperti kanak-kanak dalam tempoh hanya 11 hari.
Selain Perancis, pengawal selia data Britain dan Kesatuan Eropah (EU) turut melancarkan siasatan berasingan terhadap X dan xAI berhubung kebimbangan serius mengenai pematuhan undang-undang data peribadi serta perlindungan bagi golongan bawah umur. – AFP










