SHAH ALAM: Cadangan penangguhan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-XXII Selangor susulan kos penganjuran yang tinggi ketika konflik Asia Barat akan mengambil kira pandangan-pandangan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, beliau menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya perkara itu diteliti.
Katanya, titah baginda akan dijadikan panduan di samping cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh ADUN pada perbahasan menjunjung kasih titah baginda dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor nanti.
“Bagaimanapun, kita tunggu nanti ADUN berbahas dalam kalangan mereka dan dari situ, kerajaan akan meneliti dan melihat kepada keperluan sama ada kita hendak tangguh atau teruskan sebab kita jangan salah tafsir pandangan tuanku tadi.
“Selepas itu, kita akan melihat input-input yang kita dapat daripada perbahasan titah tuanku, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 di sini, hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyarankan supaya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada Ogos ini ditangguhkan susulan konflik Asia Barat.
Baginda bertitah, penganjuran sukan dwi tahunan itu melibatkan peruntukan tinggi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu susulan tekanan kenaikan harga minyak akibat konflik di Asia Barat.
Malah, baginda juga menasihatkan supaya penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun ini dibatalkan.
Mohd. Najwan memberitahu, bagaimanapun titah Sultan Selangor itu akan dijadikan panduan dan pedoman untuk membuat sebarang keputusan sama ada menangguhkan atau meneruskan.
“Bagi saya kita kena lihat secara menyeluruh sebab sukma adalah acara sukan peringkat kebangsaan yang mana ia diputuskan secara bersama melibatkan negeri-negeri dan juga Kementerian Belia dan Sukan.
“Secara keseluruhannya satu titah yang yang holistik dan kita lihat perlu diambil maklum dan juga insya-Allah menjadi satu topik perbahasan yang menarik dalam sidang DUN nanti (esok),” ujarnya. – UTUSAN










