Sumbangan sejuta dos vaksin dari AS bukti kerjasama kukuh - Utusan Malaysia

Sumbangan sejuta dos vaksin dari AS bukti kerjasama kukuh

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar menyifatkan sumbangan sejuta dos vaksin Covid-19 oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai bukti kerjasama kukuh dalam memerangi pandemik itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Wisma Putra mengalu-alukan ketibaan dos jenis Comirnaty keluaran firma Pfizer-BioNTech tersebut ke Malaysia pada esok.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan sejawat saya, Setiausaha Negara, Antony Blinken,” katanya melalui kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan AS kerana ia akan membantu dalam meningkatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan Malaysia.

Terdahulu, Malaysia turut menerima sejuta dos vaksin jenis Covishield keluaran syarikat AstraZeneca yang disumbangkan oleh pihak kerajaan Jepun pada Khamis lalu.

Hishammuddin berkata, AS menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur juga menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada Malaysia sejak wabak itu melanda tahun lalu.

“Ini termasuk kelengkapan perubatan, sut peralatan perlindungan peribadi dan mesin yang berkaitan dengan nilai keseluruhannya AS$250,000 (RM1.04 juta),” tambah beliau.

Justeru, Malaysia amat menghargai sokongan AS setakat ini dan berharap hubungan erat serta mesra antara kedua-dua negara itu akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama.

Dalam pada itu, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden pada 3 Jun lalu mengenai sokongan AS mengetepikan secara sementara perlindungan harta intelek (IP).

Ia membabitkan vaksin-vaksin bagi wabak Covid-19 di seluruh dunia dan beliau sendiri turut mengutus surat penghargaan sama kepada Blinken pada 4 Jun lepas berhubung isu tersebut.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan sokongan Malaysia bagi mengetepikan IP terhadap vaksin itu ketika Persidangan Antarabangsa Nikkei,” katanya.

Langkah itu jelas Hishammuddin, akan memastikan akses sejagat yang adil ke atas bekalan vaksin Covid-19 susulan banyak negara miskin di seluruh dunia masih kurang menerima stok.

Malaysia tegas beliau, pada masa sama bersedia dalam menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan AS dalam bidang penyelidikan, pengembangan dan pengedaran vaksin berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN