PARIS: Perancis dan Britain mengumumkan akan mengetuai satu misi pelbagai negara bagi memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, sambil menegaskan pasukan itu bersifat defensif sepenuhnya dan hanya akan dikerahkan selepas keamanan berkekalan di rantau itu dipersetujui.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesahkan penubuhan pasukan tersebut ketika mereka mempengerusikan rundingan antarabangsa di Paris yang memberi tumpuan kepada usaha memastikan kelancaran perdagangan melalui laluan perkapalan kritikal itu.
Persidangan yang sebahagian besarnya berlangsung secara sidang video itu menghimpunkan 49 negara dari Eropah dan Asia, dengan penyertaan pada pelbagai peringkat termasuk puluhan ketua negara dan kerajaan.
“Misi pelbagai negara itu boleh dikerahkan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
“Ini akan menjadi misi yang sepenuhnya aman dan defensif, bertujuan memberi jaminan kepada kapal komersial serta menyokong usaha pembersihan periuk api laut. Lebih 12 negara menawarkan aset untuk menyertai misi ini,” kata Starmer.
Starmer berkata, dunia mengharapkan Selat Hormuz dibuka sepenuhnya kerana ia penting untuk mengekalkan harga pada tahap rendah dan mengelakkan kerosakan ekonomi global.
Macron turut menyifatkan misi itu sebagai neutral dan sepenuhnya terpisah daripada pihak-pihak yang berperang.
Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sebagai pihak yang terlibat dalam konflik, tidak menyertai pertemuan itu.
Semalam, pasaran menunjukkan reaksi positif selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memaklumkan melalui hantaran di platform X Selat Hormuz dibuka kepada kapal komersial selagi gencatan senjata di Asia Barat berterusan.
Namun kekeliruan tercetus selepas Presiden AS, Donald Trump memberikan pelbagai kenyataan kepada wartawan serta penilaian optimistik mengenai perkembangan rundingan, mendakwa Iran bersetuju menyerahkan uranium yang diperkaya pada tahap tinggi kepada AS.
Semua dakwaan beliau kemudian dinafikan oleh Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang menyatakan Trump membuat tujuh dakwaan dalam satu jam, dan kesemuanya adalah palsu.
Kurang 24 jam selepas pengumuman Araghchi, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) kemudian mengeluarkan kenyataan menutup semula laluan strategik itu susulan sekatan berterusan AS terhadap pelabuhan Iran.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang hadir di Perancis berkata, negaranya bersedia untuk menyertai pasukan itu, namun menegaskan permusuhan perlu dihentikan terlebih dahulu.
Canselor Jerman, Friedrich Merz yang turut berada di Paris menambah, adalah wajar untuk AS turut mengambil bahagian dalam misi berkenaan.
Pertemuan itu memberi peluang kepada Eropah untuk menunjukkan keupayaannya walaupun sebelum ini banyak diketepikan oleh AS dalam usaha diplomatik bagi menamatkan konflik.
Trump dalam satu hantaran media sosial berkata, beliau menolak tawaran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu mengawal Selat Hormuz dan menggesa pakatan itu supaya ‘tidak campur tangan’.
Tidak jelas sama ada kenyataan itu merujuk kepada rundingan di Paris, memandangkan NATO tidak diwakili dalam pertemuan tersebut.
Ketua-ketua tentera dijadualkan bertemu minggu depan di ibu pejabat perintah ketenteraan Britain di Northwood bagi memperincikan lagi pelaksanaan misi tersebut, menurut pejabat Starmer.-AFP










