SOP Fasa 1 dan 2 diubah  - Utusan Malaysia

SOP Fasa 1 dan 2 diubah 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa 1 dan Fasa 2 bakal dilakukan perubahan kecil

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dipersetujui kerajaan berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi negara setiap hari.

“Antaranya bagi Fasa 1, kehadiran di pejabat untuk sektor awam ditingkatkan lagi kepada 40 peratus dalam usaha meningkatkan produktiviti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, ia tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara manakala perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti sehingga 60 peratus.

Setakat ini, hanya lima negeri dan tiga Wilayah Persekutuan masih lagi berstatus Fasa 1 PPN sejak dilaksanakan pada 29 Jun lalu menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Selebihnya melibatkan lapan negeri yang sudah pun bertukar kepada Fasa 2 iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan paling baharu, Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, waktu pasar harian dan awam bagi Fasa 1 juga dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan dengan SOP ketat.

Sementara waktu operasi pasar segar terkawal yang dikelolakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan turut dilanjutkan dari 7 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu, aktiviti berbasikal dan permainan secara individu yang boleh mengamalkan jarak fizikal antara dua hingga tiga meter dibenarkan, namun di kawasan kejiranan sahaja.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kesemua pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik di negeri yang berstatus Fasa 1 juga boleh beroperasi 24 jam pada setiap hari.

Tidak ketinggalan pengoperasian lombong dan kuari yang dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP sektor perlombongan dan pengkuarian.

“Ini bagi memenuhi keperluan segera pelbagai projek kritikal yang melibatkan kerja pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta jalan persekutuan,” tegas beliau.

Untuk negeri Fasa 2 pula katanya, perubahan itu melibatkan aktiviti penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat yang sebelum ini dalam Fasa 4.

Begitu juga ujarnya, waktu operasi premis perniagaan termasuk outlet khusus iaitu stesen minyak di negeri-negeri terbabit yang dibenarkan dari 6 pagi hingga 10 malam. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya