KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk memberi penjelasan berhubung kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap beliau.
“Menteri Besar dan PH akan umum kemudian,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran AI Lab dan Pusat Inovasi di The Exchange 106 TRX, hari ini.
Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang sewajarnya dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik. – UTUSAN










