PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas pelaksanaan Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini kerana ia hanyalah majlis penerangan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan persidangan Parlimen yang merangkumi bahas, menolak atau meminda sesuatu perkara yang dibincangkan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sidang kali ini jelas tidak menuruti titah Seri Paduka yang sama sekali tidak mengikut prosedur Parlimen.
“Kami (Pejuang) tidak menerima sesi kali ini sebagai persidangan kerana ia hanyalah majlis penerangan tanpa mengikut prosedur persidangan Parlimen yang sebenar.
“Seperti kerajaan mengumumkan semua perkara berkaitan Ordinan Darurat yang dilulus sebelum ini, dimansuhkan. Maka, sekiranya tiada sesi bahas, sudah pasti pembangkang termasuk Pejuang tidak dapat membahaskannya,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin juga memaklumkan kerajaan juga membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.
Susulan pengumuman itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kaedah pembatalan Ordinan Darurat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, keputusan berkaitan dasar besar seperti itu sepatutnya dibentangkan secara terhormat kepada Ahli Parlimen, diperaku, dipersetujui dan disambut baik, namun itu tidak berlaku.










