PUTRAJAYA: Selepas lima pemimpin utama Bersatu meletak jawatan tertinggi dalam Perikatan Nasional (PN) kelmarin, terbaharu dua lagi pemimpin kanan PN peringkat Negeri Sembilan turut membuat keputusan meletak jawatan.
Mereka ialah Setiausaha PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh dan Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus yang menganggap keputusan mereka selaras dengan keputusan Mohamad Hanifah Abu Baker yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN negeri.
Keadaan ini memperlihatkan kemelut dalam PN masih berterusan dan semakin parah. Tambahan pula, dua parti utama dalam PN, Bersatu dan Pas sehingga kini belum menamakan siapakah calon yang layak menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Biarpun nama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut paling layak menerajui PN berdasarkan kekananan jawatan dalam parti, namun sehingga kini kedua-dua parti itu masih belum mengemukakannya.
Mengulas kemelut yang berlaku, Pengasas Bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof tegas menafikan bahawa Bersatu akan keluar daripada PN meskipun berlaku peletakan jawatan tujuh pemimpin tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Redzuan berkata, Bersatu kekal sebagai ahli PN dan tidak pernah berniat untuk memutuskan hubungan dengan rakan komponen, termasuk Pas.
Menurut beliau, sebarang keputusan melibatkan kepemimpinan tertinggi PN perlu dibuat secara konsensus seperti termaktub dalam perlembagaan gabungan itu.
“Bersatu mengasaskan PN. Kita tidak akan memusnahkan PN. Dalam perlembagaan PN jelas menyatakan bahawa sebarang peletakan jawatan atau perubahan kepimpinan perlu diputuskan melalui persetujuan empat parti komponen utama,” katanya di sini semalam.
Mohd. Redzuan berkata, beliau melihat isu yang timbul ketika ini bukanlah satu krisis besar, sebaliknya berjaya ditangani dengan baik oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pendekatan kepemimpinan berpengalaman.
“Saya tabik cara Tan Sri Muhyiddin menguruskan keadaan ini. Dengan satu langkah strategik, beliau berjaya menenangkan keadaan dan menutup spekulasi yang seolah-olah mahu menekan beliau serta Bersatu dalam PN,” katanya.
Beliau menambah, langkah tersebut memperlihatkan kebijaksanaan kepimpinan apabila Bersatu kembali stabil dan kekal sebagai sebahagian daripada PN.
Mengulas dakwaan wujud usaha Pas untuk menjarakkan hubungan dengan Bersatu di beberapa negeri, Mohd. Redzuan berkata, terdapat suara-suara tertentu yang mencadangkan kerjasama politik disusun semula hanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Seolah-olah Bersatu tidak diperlukan di negeri-negeri itu kerana mereka merasakan sudah cukup kuat. Namun pada masa sama, mereka masih mahu berkongsi kuasa di negeri lain seperti Perlis,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa Pas masih belum bersedia untuk mengetuai PN secara bersendirian memandangkan kekuatan sebenar gabungan itu bergantung kepada kerjasama semua parti komponen.
“Pas mempunyai kekuatan tersendiri, tetapi mereka telah mencapai tahap tepu. Tanpa rakan gabungan, sukar untuk mereka bergerak lebih jauh. Soal siapa yang layak mengetuai PN perlu dibincangkan secara terbuka dan dibawa ke Majlis PN,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, kepemimpinan PN dijangka dibincangkan dalam mesyuarat terdekat mengikut konvensyen gabungan tersebut bagi menentukan hala tuju dan kepemimpinan masa depan.
“Letakkan di atas meja. Siapa yang mahu mengetuai PN perlu mendapat persetujuan bersama. Itulah cabaran sebenar yang PN hadapi ketika ini,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kedudukan PN kini goyah selepas lima pemimpin utama daripada Bersatu mengumumkan peletakan jawatan mereka di dalam gabungan itu dimulai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa hari ini.
Menyusul keputusan bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor;
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker meletak jawatan tersebut.
Dengan keputusan peletakan jawatan secara mengejut oleh lima pemimpin utama Bersatu yang memegang jawatan penting dalam PN itu meletakkan gabungan tersebut yang dianggotai oleh Pas, Gerakan dan MIPP di puncak krisis dan semakin goyah. – UTUSAN










