Ringgit dijangka lebih stabil, berdaya tahan pada 2026

Ringgit dijangka lebih stabil, berdaya tahan pada 2026

RINGGIT mengukuh kepada 4.0660/4.0720 berbanding dolar AS ketika ditutup pada 5 petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka berada pada tahap yang lebih stabil dan berdaya tahan pada tahun ini berbanding 2025, dengan potensi pengukuhan selari dengan peningkatan produktiviti domestik, kemajuan agenda ekonomi Madani dan penyesuaian beransur-ansur terhadap persekitaran kewangan global. 

Pada 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah kepada 4.0570/4.0650 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada 4.0450/4.0490 pada Selasa.

Sementara itu, Bursa Malaysia mengakhiri 2025 dengan negatif apabila susut 4.42 mata kepada 1,680.11,berbanding 1,684.53 pada Selasa.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, prestasi ringgit adalah secara sederhana optimis dengan kecenderungan untuk terus mengukuh secara berperingkat.

Katanya, ini didorong oleh asas ekonomi domestik yang semakin kukuh serta prospek pertumbuhan yang stabil. 

“Pengukuhan ini disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan permintaan global khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta komitmen berterusan kerajaan terhadap pembaharuan fiskal dan tadbir urus ekonomi yang lebih mampan. 

“Secara keseluruhan, prospek ringgit adalah lebih baik dalam jangka sederhana, dengan syarat faktor luaran kekal terkawal dan momentum pembaharuan struktur dalam ekonomi Malaysia diteruskan secara konsisten,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, pendirian dasar monetari yang berhati hati oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kestabilan inflasi dan pengurusan defisit yang lebih berdisiplin turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ringgit.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.06 minggu ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.21 peratus kepada 98.238 mata apabila para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) dilihat berbeza pandangan mengenai hala tuju kadar Dana Fed pada masa hadapan. 

“Sebahagian daripada mereka berpandangan bahawa penurunan kadar faedah ke paras hampir neutral boleh membantu mengelakkan kelembapan dalam pasaran buruh.

“Namun demikian, pelonggaran dasar monetari dalam persekitaran inflasi yang masih tinggi berisiko menjejaskan kredibiliti dasar monetari Fed dalam mengurus kestabilan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×