Kesejahteraan rakyat tumpuan tahun 2026

Kesejahteraan rakyat tumpuan tahun 2026

PENGUNJUNG dari dalam dan luar negara yang mengunjungi Jalan Bukit Bintang tidak melepaskan peluang bergambar dengan maskot gergasi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. TMM yang dilancarkan malam tadi bakal menarik lebih 40 juta pelancong. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan beberapa inisia­tif dan meningkatkan bantuan serta memperkenalkan langkah baharu ke arah kesejahte­raan rakyat ketika ekonomi negara berada pada landasan kukuh untuk terus berhadapan cabaran sepanjang 2026.

Antaranya penambahan jumlah bantuan tunai rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup, dengan jumlah keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk tahun ini meningkat kepada RM15 bi­lion di bawah Belanjawan 2026.

Dengan penambahan itu, ke­semua sembilan juta penerima STR akan turut menerima bantuan SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun pada tahun depan. Pada masa sama, seramai satu juta penerima STR di bawah sistem eKasih akan menerima bantuan SARA sehingga RM200 ringgit sebulan atau RM2,400 setahun.

Kerajaan juga memberikan sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang dijangka disalurkan pada pertengahan Februari nanti.

Langkah kerajaan mensejahterakan rakyat turut disokong oleh pengukuhan ringgit yang dijangka berada pada tahap lebih stabil dan berdaya tahan pada tahun ini berbanding 2025, dengan potensi pengukuhan selari dengan peningkatan produktiviti domestik, kemajuan agenda ekonomi Madani dan penyesuaian beransur-ansur terhadap persekitaran kewangan global.

Pada 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah kepada 4.0570/4.0650 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada 4.0450/4.0490 pada Selasa.

Sementara itu, Bursa Malaysia mengakhiri 2025 dengan negatif apabila susut 4.42 mata kepada 1,680.11,berbanding 1,684.53 pada Selasa.

Prestasi ringgit adalah secara sederhana optimis dengan kecenderungan untuk terus mengukuh secara berperingkat dan ia didorong oleh asas ekonomi domestik yang semakin kukuh.

Prospek pertumbuhan ekonomi negara pula dijangka sederhana namun kekal kukuh pada kadar 4.6 peratus pada 2026, lebih tinggi berbanding julat sasaran Kementerian Kewangan iaitu 4.0 hingga 4.5 peratus,

Tahun 2026 juga menyaksikan Pelancaran Tahun Melawat Malaysia yang menyasarkan lebih 40 juta pelancong asing ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka mampu menjana pulangan lebih RM140 bilion, turut menjadi faktor kepada pengukuhan ekonomi yang sekali gus membantu usaha kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat.

Selain itu, kerajaan juga dijangka melaksanakan inisiatif baharu kutipan cukai karbon dengan anggaran kutipan mampu mencecah RM2.1 bilion setahun sepanjang fasa pertama pelaksanaannya bermula 2026 hingga 2030.

Rakyat juga pada tahun ini akan menikmati kemudahan prasarana lebih baik menerusi perkhidmatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Disember tahun ini selain perkhidmatan komuter khusus bagi laluan Kulai–Johor Bahru yang akan diperkenalkan mulai suku pertama 2026.

Kerajaan juga akan melaksanakan larangan akses media sosial kepada individu bawah 16 tahun mulai tahun depan bagi melindungi golongan muda daripada ancaman negatif dalam talian yang semakin meningkat.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad, langkah yang dilakukan Kerajaan Madani bakal memberikan manfaat besar kepada semua golongan terutama golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40) serta mampu memperkukuh kestabilan ekonomi serta kesejahteraan untuk jangka masa panjang.

“Penambahan manfaat STR dan SARA adalah satu langkah yang amat baik dalam ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini dengan isu tarif, peperangan dan tekanan ekonomi global disebabkan oleh persaingan harga dan barangan komoditi serta ekosistem yang tidak menentu.

“Maka ini dapat memastikan kerangka ekonomi B40 dan M40 berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk kesejahteraan kehidupan yang lebih berkualiti,” ujarnya.

Tambah Bashir Ahmad lagi, pelaksanaan cukai karbon dan Lemon Law selepas diumumkan dalam Belanjawan pada Oktober 2025 juga bertepatan dan merupakan satu langkah terutama untuk sektor automotif memandangkan ia akan meningkatkan ketelusan dan menambah baik piawaian industri.

“Ia juga sekali gus membantu menambah ruang dan hak kepada pengguna dalam tuntutan mereka terhadap kerosakan yang berlaku dalam barangan pembelian mereka terutama kenderaan dan barangan elektrik yang masih dalam jaminan walaupun telah dihantar untuk baiki beberapa kali,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN