Sidang khas Parlimen: Ahli Parlimen boleh mencelah, beri pandangan - Utusan Malaysia

Sidang khas Parlimen: Ahli Parlimen boleh mencelah, beri pandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Sidang Parlimen yang pertama tahun ini selepas ditangguhkan susulan proklamasi Darurat sejak Januari lalu dijangka dihadiri 220 Ahli Parlimen.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula 26 sehingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi mendengar penerangan menteri-menteri berkaitan dengan pengisytiharan darurat dan langkah-langkah kerajaan menangani Covid-19.

Pada 23 Julai lalu, aturan mesyuarat sudah diedarkan kepada semua ahli Parlimen dan dinyatakan mesyuarat itu akan bermula pukul 10 pagi.

Mesyuarat Khas itu akan dimulai dengan sesi penerangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selepas itu, ia diikuti sesi sama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang akan menerangkan tindakan negara menangani pandemik Covid-18 dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula memberi penerangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula akan menyentuh mengenai pakej bantuan ekonomi.

Akhir sekali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi penerangan berkaitan pelaksanaan darurat.

Apabila semua menteri-menteri tersebut selesai dengan penerangan mereka, ahli-ahli Parlimen dibenarkan untuk mencelah bagi meminta penjelasan dan memberi pandangan mengenai perkara dibangkitkan Perdana Menteri dan menteri, sebelum dijawab mereka.

Selepas sesi penerangan, antara pembentangan mengenai pengisytiharan Darurat dan ordinan lain yang diperkenal sepanjang tempoh darurat melalui beberapa pindaannya termasuk Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari manakala sidang Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

Ahli-ahli Parlimen diingatkan untuk tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat antaranya menjaga penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dua lapis selain sudah memperoleh keputusan negatif bagi ujian saringan Covid-19 malah diperluas membabitkan petugas Parlimen dan 72 pengamal media yang mewakili 15 agensi media tempatan.

Parlimen juga akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid serta sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom bagi melancarkan tugasan liputan pihak media.

Persidangan khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan ketika Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan mesyuarat itu perlu ditetapkan Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu perlu dihantar kepada ahli tidak lewat dari masa diadakan mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) dan sesi soal jawab lisan.

Selain itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya pula, memaklumkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat Parlimen ke-14 tahun ini diadakan selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat bagi penggal keempat pula akan diadakan 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember, dengan tumpuan persidangan ketika itu adalah berkaitan pembentangan dan perbahasan RUU Perbekalan 2022 atau Belanjawan 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya