Pekerja kekal dilindungi, tanggungjawab majikan bayar caruman

Pekerja kekal dilindungi, tanggungjawab majikan bayar caruman setiap bulan

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekerja tidak kehilangan perlindungan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) walaupun majikan lewat atau gagal membayar caruman.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perkara itu selaras dengan prinsip perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tidak meletakkan kesalahan majikan ke atas pekerja.

Katanya, berdasarkan struktur skim itu, pekerja yang masih berada dalam hubungan pekerjaan sepatutnya terus dilindungi dan majikan mempunyai tanggungjawab statutori untuk mendaftarkan dan membayar caruman bagi pihak pekerja.

“Perlindungan tidak semestinya terbatal automatik sekiranya berlaku kelewatan caruman, khususnya apabila pekerja masih aktif bekerja dan layak diinsuranskan.

“Perlindungan itu juga tidak semestinya terbatal jika terdapat kegagalan berpunca daripada kecuaian atau kegagalan majikan dan potongan telah dibuat daripada gaji tetapi tidak disalurkan.

“Ini kerana, tanggungjawab membayar caruman terletak pada majikan dan bukannya pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lebih sembilan juta pencarum Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dilindungi secara automatik daripada kemalangan di luar tempat kerja menerusi Skim LINDUNG 24 Jam, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Ramanan berkata, dalam banyak skim Perkeso sebelum ini, prinsip digunakan ialah pekerja tidak sepatutnya hilang hak perlindungan akibat kesalahan majikan.

Justeru tuntutan masih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada siasatan Perkeso terhadap status pekerjaan, rekod gaji, slip gaji, kontrak pekerjaan dan bukti hubungan majikan-pekerja.

Mengenai sama ada perlin­dungan akan digantung sementara apabila tiada caruman direkodkan bagi tempoh tertentu, Ramanan berkata, Perkeso akan menyemak sama ada pekerja masih aktif bekerja sebelum membuat penilaian lanjut.

“Perkeso akan menentukan sama ada majikan culas atau hanya lewat membuat bayaran dan menilai kelayakan tuntutan berdasarkan fakta pekerjaan sebenar.

“Ini bermaksud perlindungan disediakan Perkeso tidak semestinya digantung secara automatik seperti polisi insurans komersial biasa, namun kelewatan caruman boleh menyebabkan proses tuntutan menjadi lebih rumit dan memerlukan pengesahan tambahan.

“Sekiranya majikan langsung tidak pernah mendaftar pekerja atau sengaja tidak mencarum untuk tempoh yang panjang, isu kelayakan boleh menjadi lebih kompleks dan tertakluk kepada keputusan siasatan Perkeso,” katanya.

Ramanan berkata, ada beberapa mekanisme perlindungan disediakan bagi memastikan hak pekerja terpelihara, manakala majikan diwajibkan mendaftarkan pekerja, memotong dan menyalurkan caruman serta membayar caruman sepanjang pekerja masih bekerja.

Kegagalan memenuhi tanggungjawab itu, menyebabkan majikan dikenakan kompaun, denda, tindakan mahkamah dan tuntutan tunggakan caruman dan faedah lewat bayar.

“Jika berlaku kemalangan tetapi tiada caruman atau tertunggak, pekerja boleh mengemukakan slip gaji, surat lantikan, penyata bank, rekod kehadiran dan komunikasi pekerjaan sebagai bukti soko­ngan.

“Perkeso boleh menggunakan dokumen berkenaan untuk menentukan bahawa hubungan pekerjaan memang wujud walaupun caruman belum dijelaskan,” katanya.

Ramanan berkata, pekerja boleh menyemak rekod caruman melalui aplikasi atau portal Perkeso bagi memastikan caruman dibuat mengikut ketetapan.

Malah turut berhak membuat aduan jika terdapat bulan tidak dicarum dan mengadu kepada Jabatan Tenaga Kerja jika poto­ngan gaji tidak disalurkan se­perti sepatutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN