BERUAS: Seorang individu ditemukan rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dipandunya terbakar susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari, di sini hari ini.
Dalam kemalangan itu, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan keadaannya yang rentung selepas terperangkap dalam kenderaan yang musnah hampir keseluruhan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 4.36 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi nahas, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah MPV jenis Toyota Innova yang musnah terbakar 90 peratus setelah dipercayai bertembung dengan sebuah treler jenis Nissan.
“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, anggota bomba menemukan seorang mangsa yang jantinanya tidak dapat dikenal pasti dalam keadaan rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan ‘rescue cutter’ untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, dalam kejadian itu, pemandu treler iaitu seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Lelaki terbabit telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans.
“Anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan bagi mengalihkan serpihan kenderaan dan membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu bagi memastikan laluan selamat digunakan,” katanya. – UTUSAN










