MCW gesa SPRM teliti dakwaan kargo petroleum bercanggah di Tanjung Langsat - Utusan Malaysia

MCW gesa SPRM teliti dakwaan kargo petroleum bercanggah di Tanjung Langsat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan ketidakpadanan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, yang didakwa melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata sekiranya dakwaan berhubung percanggahan antara dokumentasi bil muatan atau Bill of Lading (BL) dengan pergerakan sebenar kargo mempunyai asas, ia boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.

Menurutnya, SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan itu sekiranya terdapat elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.

“Sekiranya dakwaan tersebut mempunyai asas dan tidak ditangani secara tegas, ia boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku termasuk penipuan perdagangan, manipulasi dokumentasi, pengelakan cukai dan duti, penyeludupan produk petroleum serta amalan pengubahan wang haram.

“Dalam industri petroleum yang melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit bagi setiap penghantaran, sebarang percanggahan antara dokumen dan pergerakan sebenar kargo boleh menyebabkan ketirisan hasil negara yang besar,” katanya dalam kenyataan.

Jais berkata, isu itu tidak boleh dilihat sebagai masalah teknikal dokumentasi semata-mata kerana kelemahan kawalan dalaman dan pemantauan boleh mewujudkan ruang kepada rasuah atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam rantaian logistik, penguatkuasaan dan perdagangan antarabangsa.

Menurutnya, risiko menjadi lebih serius sekiranya data berkaitan kargo, rekod kastam, manifest kapal, dokumen perdagangan dan rekod simpanan terminal tidak disemak secara menyeluruh dan bebas.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak berkuasa perlu memperkukuh mekanisme semakan silang antara data pelabuhan, rekod Jabatan Kastam, sistem pemantauan kapal, dokumen perdagangan dan rekod penyimpanan terminal.

Katanya, pendigitalan penuh rantaian bekalan petroleum juga perlu dipercepatkan bagi memastikan setiap transaksi boleh dijejak secara masa nyata dan diaudit dengan lebih berkesan.

“MCW berpandangan pihak berkuasa perlu memperkukuhkan mekanisme semakan silang antara data pelabuhan, rekod kastam, manifest kapal, sistem pemantauan kapal, dokumen perdagangan dan rekod penyimpanan terminal.

“Pendigitalan penuh rantaian bekalan petroleum perlu dipercepatkan bagi memastikan setiap transaksi dapat dijejak secara masa nyata dan diaudit dengan lebih berkesan,” katanya.

Badan pemerhati antirasuah itu mencadangkan audit bebas secara berkala, penggunaan teknologi analitik data, integrasi pangkalan data antara agensi serta perlindungan lebih kukuh kepada pemberi maklumat bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan lebih awal.

Menurutnya, tindakan pantas dan bebas oleh SPRM amat penting bagi mengelakkan persepsi bahawa terdapat kelemahan penguatkuasaan atau layanan istimewa terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dakwaan berhubung kemungkinan ketidakpadanan antara BL dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Tanjung Langsat sebelum ini dilaporkan media tempatan, termasuk dakwaan aduan berkaitan transaksi petroleum bernilai jutaan ringgit sudah dibawa kepada SPRM.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai hasil siasatan atau sebarang pertuduhan terhadap mana-mana individu atau syarikat berhubung dakwaan itu.

Jais berkata, integriti sistem perdagangan negara adalah aset strategik yang perlu dipertahankan kerana sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi penguatkuasaan mesti ditangani secara menyeluruh.

“Sebarang dakwaan yang berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi penguatkuasaan hendaklah disiasat secara menyeluruh demi kepentingan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN