GERIK: Seorang lelaki tidak menyangka tindakan abangnya menyerahkan kunci rumah kepadanya, tanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Nor Azzam Ishak, 27, ditemukan mati lemas di Sungai Alai, Kampung Lalang di sini hari ini.
Kamarulzaman, 25, berkata, abangnya hilang ketika memukat ikan di Sungai Alai, Kampung Lalang di sini pada Sabtu lalu.
Menurutnya, pada malam sebelum memukat ikan di sungai, abangnya itu menyerahkan kunci rumah yang biasanya disimpan dan jarang diserahkan kepadanya disebabkan dia sering terlupa atau tertinggal kunci rumah.
“Selepas itu saya tidak lagi berjumpa abang sehinggalah dia dilaporkan hilang di sungai pada Sabtu lalu dan mayatnya hanya ditemukan hari ini.
“Saya dan abang jarang berbual tetapi sejak dua tiga hari lalu, abang saya menjadi peramah dan suka bersembang dengan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, rakan mangsa, Mohd. Syahiman Md. Isa, 23, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1.20 petang Sabtu lalu, dia bersama mangsa seperti biasa memukat ikan di sungai tersebut yang jaraknya kurang daripada satu kilometer dari rumah mereka.
Katanya, ketika turun ke sungai yang hanya paras pinggang, Nor Azzam memacak kayu di tebing sungai untuk mengikat pukat manakala dia pula naik semula ke tebing sungai untuk mengambil pukat yang tertinggal.
“Setelah mengambil pukat di tebing, saya berpaling ke arah Nor Azzam tetapi dia tiada, saya memanggil dan mencarinya di dalam sungai tetapi tidak dijumpai lalu saya menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 5.32 petang Sabtu lalu.
“Operasi mencari mangsa menemukan mangsa di tebing sungai pada pukul 4.01 petang tadi dan disahkan telah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.










