MARANG: Perebutan jawatan dan desakan kepentingan tertentu termasuk tuntutan projek bercanggah dengan prinsip integriti serta bebas rasuah menjadi punca kemelut politik Perlis sehingga menyaksikan Mohd. Shukri Ramli meletak jawatan Menteri Besar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya mempertahan kepemimpinan Mohd. Shukri semasa menerajui pentadbiran dan menyifatkan kemelut politik bukan disebabkan kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkenaan.
Katanya, keengganan Mohd. Shukri tunduk kepada tekanan tertentu menyebabkan beliau dizalimi dan bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.
Tanpa memperincikannya, beliau berkata, dua faktor utama itu sukar diterima menyebabkan Pas mengambil pendirian tegas.
“Kita anggap situasi ini sebagai satu ujian politik yang pernah dilalui termasuk pengalaman di Kelantan pada era 1959,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di sini semalam.
Krisis politik di Perlis selepas wujud gerakan lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Susulan itu, tiga ADUN Pas terlibat terhenti keahlian serta-merta dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Abdul Hadi berkata, pentadbiran boleh diteruskan berdasarkan pengalaman lalu di Selangor walaupun pembentukan kerajaan negeri berdepan kesukaran kerana Pas kekal berpegang kepada prinsip Perlembagaan parti serta lunas Islam dalam menangani kemelut politik.
Beliau berkata, Pas tidak boleh menghukum Bersatu secara keseluruhan kerana parti berkenaan mempunyai pelbagai pandangan dalaman namun berharap dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap wakil rakyat terlibat atas semangat setia kawan dalam kerjasama politik.
Katanya, kepercayaan Pas terhadap Bersatu tidak tergugat dan parti itu kekal optimis dengan sokongan rakyat sambil menyeru ahli serta penyokong supaya terus bertenang menghadapi perkembangan semasa.
Dalam pada itu, Abdul Hadi enggan mendedahkan identiti dua calon Menteri Besar Perlis selepas Pas mengemukakan untuk pertimbangan dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Katanya, Pas bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) sekiranya diperlukan.
“Pas ada enam ADUN dan kami telah mengemukakan senarai calon difikirkan layak,” katanya.-UTUSAN










