KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail akur dengan keputusan Pas menamatkan keahlian, namun kekal mempertahankan tindakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli.
Katanya, tindakan menandatangani akuan berkanun (SD) dibuat atas pertimbangan sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak demi kepentingan parti dan negeri.
Ujar beliau, isu melibatkan Mohd. Shukri khususnya melibatkan pengurusan beliau dalam pentadbiran negeri yang tidak mengikut parti sudah lama berlarutan meskipun sudah ditegur yang akhirnya membawa kepada tindakan ini.
“Tindakan (menarik sokongan) itu dibuat bukan untuk kepentingan diri. Tindakan tersebut betul pada pertimbangan kami dan ia menjadi salah pada kelompok yang berbeza pandangan.
“Ia juga bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berpunca daripada keyakinan bahawa kepimpinan Mohd Shukri telah menjejaskan kedudukan dan kekuatan Pas di Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Chuping, dan Guar Sanji selepas ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.
Selain Fakhrul, dua lagi ADUN yang gugur ialah Saad Seman (Chuping) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Dalam pada itu, Fakhrul memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada Pas susulan keputusan parti itu menamatkan keahliannya itu.
Sementara itu, Mohd. Ridzuan dan Saad masih belum menjawab panggilan wartawan yang ingin mendapatkan respon mereka berhubung isu itu.










